HB

DUET KAWEN OH !

Monday, September 3, 2012

Rangkakan Usaha Menangani Stres Guru

Tajuk Artikel: Rangkakan Usaha Menangani Stres Guru

Oleh: Norin binti Shaari


2.1 Ulasan Artikel

Artikel yang telah dipilih bertajuk Rangkakan Usaha Menangani Stres Guru yang dipetik daripada Utusan Online bertarikh 22 Ogos 2005. Artikel ini membincangkan tentang stres yang dialami oleh guru-guru di sekolah. Tahap stres guru ini dikatakan berada di tahap yang membimbangkan ekoran bebanan tugas yang semakin meruncing. Isu – isu stres ini juga dibincangkan oleh kesatuan-kesatuan guru iaitu Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (Kongres), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB). Oleh itu, pelbagai pihak sering membincangkan dan memperkatakan tentang isu stres yang melanda guru-guru di sekolah pada masa kini. Walaupun artikel ini dikeluarkan pada tahun 2005 namun isu stres ini masih diperkatakan sehingga kini setelah tujuh tahun berlalu.


Isu stres yang disiarkan di dalam artikel ini dikatakan akan menjejaskan integriti profesion keguruan di negara kita. Ketika mendepani isu stres ini guru juga perlu memikul amanah yang telah diberikan kepada mereka untuk mendidik anak bangsa sehingga berjaya. Polemik stres ini perlu ditangani dengan bijak agar tidak mengganggu gugat tugas-tugas guru di sekolah. Pengurusan stres yang tidak bijak akan menyebabkan guru tersebut terganggu dan menyebabkan produktiviti guru tersebut menurun. Guru juga merupakan sebahagian besar penjawat awam di negara ini dan nasib anak bangsa adalah bergantung kepada produktiviti seseorang guru itu. Produktiviti seseorang guru akan menurun sekiranya seseorang guru itu menghadapi pelbagai stres dalam kehidupannya. Stres juga akan menyebabkan seorang guru itu tidak dapat menyelesaikan tugas-tugasnya dengan baik serta mengabaikan murid-muridnya. Antara punca-punca stres yang kerap dihadapi oleh guru ialah beban tugas perkeranian yang semakin banyak di sekolah seperti mengemaskini data maklumat peribadi dan markah murid. Perkara ini menyebabkan guru lupa kepada tugas asalnya sebagai pendidik dan penyampai ilmu pengetahuan kepada anak bangsa itu sendiri.


Kerjaya lain juga mempunyai potensi untuk terlibat dengan stres. Kerjaya sebagai guru ini mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi stres. Hal ini demikian kerana, seorang guru perlu berdepan dengan murid, rakan sejawat, pihak pentadbir dan masyarakat yang boleh menyumbang kepada berlakunya stres. Kerjaya sebagai guru yang banyak mempunyai hubungan dengan orang lain juga terpaksa menempuh pelbagai karenah mereka yang berbeza. Perselisihan pendapat dan cara kerja yang berbeza juga akan mengundang stres dalam kalangan guru. Tugas sebagai seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah dan semua orang mengetahui bahawa tugas ini sememangnya terdedah kepada risiko stres. Profesion keguruan yang dianggap sebagai helping profession ini mempunyai hubungan dengan pelajar yang sememangnya pelbagai karenah ini sudah semestinya memerlukan seorang guru itu mempunyai daya ketahanan diri yang tinggi.


Kemampuan seseorang guru itu untuk menangani stres dalam dirinya dilihat sebagai salah satu kejayaan dalam diri guru tersebut. Daya tindak seseorang guru untuk menangani stres merupakan salah satu faktor yang penting agar seseorang guru tidak terus dibelenggu oleh masalah stres. Ketidakupayaan guru dalam menangani stres ini akan menyebabkan produktiviti dan tahap motivasi guru tersebut menurun. Kesan daripada stres juga akan mengganggu kehidupan peribadi guru tersebut dan menyebabkan emosi terganggu. Tidak dinafikan pengurusan stres yang bijak sangat membantu dalam kehidupan seharian sebagai seorang guru. Oleh itu, sebagai seorang guru haruslah mempunyai kesediaan untuk menghadapi stres dengan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu menangani stres.


Isu berkaitan dengan stres guru ini juga merupakan satu isu yang sering diperkatakan oleh semua guru-guru di sekolah. Tekanan atau stres guru ini juga disebabkan oleh beban kerja guru yang semakin bertambah. Bebanan kerja ini pula menyebabkan guru tidak dapat membahagikan masa dengan baik untuk menyiapkan tugasan mereka. Strategi pengurusan stres yang baik akan membantu seseorang guru itu untuk menangani stres dengan bijak. Mempelajari strategi pengurusan stres adalah jalan terbaik supaya kita tahu cara untuk menangani stres apabila menghadapinya. Pada masa kini terdapat pelbagai kursus yang boleh dihadiri sendiri oleh guru untuk meningkatkan kemahiran dalam diri mereka. Guru haruslah mempunyai inisiatif sendiri untuk mempersiapkan diri dengan menghadiri kursus-kursus berbayar yang dianjurkan seperti cara menangani stres dan cara pengurusan masa yang bijak.


Stres bukan sahaja bersifat negatif malah terdapat juga stres yang bersifat positif. Stres juga memberikan kesan yang positif kepada seseorang individu. Kesan positif stres dipanggil ‘eustress’. Keadaan yang positif ini berlaku apabila individu yang mengalami stres bertindak menanganinya secara positif. Individu tersebut juga menganggap stres memberikan tekanan untuknya bertindak lebih positif. Individu juga akan lebih bermotivasi untuk bekerja sekiranya mereka mempunyai daya tindak yang positif. Stres positif ini juga menjadikan individu menganggap pelbagai beban kerja mereka sebagai salah satu daya penolak untuk menyelesaikan tugasan mereka. Tekanan yang dihadapi oleh guru pula dianggap sebagai sesuatu daya penolak untuk melakukan sesuatu perkara.


Keadaan yang negatif pula berlaku sekiranya individu tersebut tidak dapat mengawal stres. Kesan negatif dikenali sebagai ‘distress’. Kesan negatif inilah yang akan menyebabkan guru tidak dapat mengawal tekanan dalam diri mereka. Stres kerja guru yang tidak terkawal melalui strategi berdaya tindak yang berkesan akan memberi kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru dan seterusnya memberi kesan kepada mutu pendidikan negara. Jika diperhatikan stres adalah punca kepada sesuatu perkara yang negatif. Akibat stres yang negatif ini individu akan kehilangan motivasi untuk bertindak menangani stres mereka. Stres juga boleh menjadikan seseorang individu hilang pertimbangan dan mengganggu emosi mereka. Seseorang individu yang mengalami stres yang teruk juga boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan orang lain.


Berdasarkan artikel yang dianalisis ini juga mengatakan bahawa terdapat teori yang menyebut stres hanya wujud di fikiran sahaja. Kebanyakan soal selidik berkaitan stres akan mengkaji tentang tahap stres, faktor-faktor penyumbang dan kaedah menangani yang digunakan. Kesemua elemen ini merupakan elemen yang penting untuk menentukan keseriusan tahap stres seseorang. Isu stres ini bukanlah isu yang baru kerana banyak kajian yang dilakukan di dalam dan luar negara berkaitan stres. Dapatan kajian terutama di luar negara memang mendapati banyak faktor yang boleh menyumbang kepada tahap stres yang tinggi dalam kalangan guru.


Perkara yang paling penting dalam menangani stres ialah bagaimana guru berdaya tindak terhadap sumber stres tersebut. Oleh itu, adalah amat penting bagi guru mempunyai kaedah-kaedah tersendiri dalam usaha memastikan tahap stres mereka terkawal. Mereka perlu memastikan bahawa stres akan bertukar kepada kesan positif bukan sebaliknya. Memastikan tahap stres terkawal adalah sangat penting supaya guru dapat melaksanakan tugas-tugas mereka di sekolah dengan sempurna. Sekiranya guru tidak dapat memastikan stres bertukar kepada kesan yang positif maka keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya tekanan emosi yang terlampau dalam kalangan guru. Apabila keadaan ini berlaku sememangnya guru akan berada di luar kawalan. Guru juga akan bertindak di luar kawalan seperti mendenda murid, merotan murid dan dendaan fizikal yang lain.


Bagi mengurangkan stres yang dihadapi oleh guru sistem sokongan yang kuat adalah perlu. Sistem sokongan yang kuat daripada guru besar, guru-guru sekolah dan semua kakitangan adalah sangat membantu guru untuk menangani stres mereka. Guru yang tidak berupaya mengawal stres perlu mendapat intervensi yang sewajarnya. Antara intervensi yang dapat dijalankan ialah melalui sesi kaunseling dan terapi yang dijalankan. Melalui terapi yang dijalankan guru belajar untuk menangani stres dalam diri mereka. Guru perlu lebih bertenang semasa menghadapi stres agar tidak mengusutkan fikiran mereka. Kebanyakan guru mengalami tekanan apabila mereka tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberi tepat pada masanya.


Terdapat pelbagai faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya stres dalam kalangan guru. Berdasarkan artikel Cooper, Sloan dan Williams (1988) menjelaskan punca stres adalah pelbagai di mana stres dilihat sebagai bukan hanya fungsi orang yang tertekan dalam satu sistem pekerjaan tetapi lebih merupakan fungsi keseluruhan kehidupan. Stres akan mengganggu kehidupan seseorang secara menyeluruh dan bukan sahaja dalam aspek pekerjaan. Apabila stres kualiti kehidupan peribadi guru juga akan semakin menurun. Stres yang dihadapi oleh guru berkemungkinan besar adalah disebabkan oleh tekanan kerja yang tinggi.


Antara faktor yang sering dikaitkan dengan tahap stres yang tinggi ialah ketidakupayaan segolongan guru untuk berdaya tindak ke atas isu-isu pendidikan yang berlaku dalam dunia yang pesat berubah. Contohnya ialah isu berkaitan dengan penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi untuk memasukkan data dan markah-markah murid. Kebanyakan yang kurang cekap dalam mengendalikan peralatan ICT ini akan menganggap ianya sebagai satu beban tugas yang mengganggu mereka. Sebagai langkah menanganinya seseorang guru itu perlu melengkapkan diri dengan kecekapan penggunaan ICT agar selaras dengan hasrat kerajaan yang inginkan pendidikan negara bertaraf dunia.


Pada masa kini terdapat pelbagai perubahan dalam dunia pendidikan di negara kita. Semua perubahan yang berlaku ini adalah sangat perlu sebagai penambahbaikan terhadap bidang pendidikan. Tujuan utama perubahan ini ialah untuk merealisasikan hasrat negara melahirkan guru yang bertaraf dunia. Bagi melahirkan guru bertaraf dunia ini isu-isu stres haruslah ditangani. Antara perubahan yang dilakukan dalam dunia pendidikan ialah memperbaharui kemudahan pendidikan dan mengkaji semula sukatan pelajaran serta kurikulum yang dikemaskini. Perkara ini juga termasuk dalam agenda pendemokrasian pendidikan di negara kita untuk mencapai pendidikan bertaraf dunia.


2.2 Pandangan tentang Artikel

Pada pandangan saya isu berkaitan stres guru ini seperti tiada kesudahan sejak beberapa tahun yang lalu. Stres ialah reaksi mental dan fizikal terhadap semua permasalahan yang dihadapi dalam kehidupan ( Fadzilah Kamsah, 2007). Stres juga merujuk kepaa manifestasi sistem minda-tubuh yang boleh diramalkan, akibat daripada tekanan dalaman dan luaran, yang sekiranya berterusan, boleh memudaratkan diri atau membawa penyakit ( Hatta Sidi, 2003). Menurut Mohd Salleh (1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Menurut Mohd Azhar (2004), stres diertikan sebagai sebarang jenis desakan yang memberi kesan kepada kehidupan seharian seseorang ( Syed Ismail Syed Mustafa, 2010). Oleh itu, pada pandangan saya stres ialah sesuatu keadaan yang berlaku apabila terdapat desakan atau tekanan dalam apa jua keadaan sehingga menyebabkan seseorang itu tidak boleh hidup selesa dan boleh memudaratkan dirinya sendiri dan orang lain.

Stres juga boleh wujud dalam bentuk positif dan negatif. Stres positif ialah eustres yang muncul dengan tekanan sesuatu yang membuat seseorang senang ( Ma’rof Redzuan, 2004) Perkataan eustres membawa maksud dapat menyesuaikan diri atau stres yang membina (Syed Ismail Syed Mustafa, 2010).Disebabkan stres positif juga seseorang akan berdaya tindak untuk menangani stres. Motivasi yang positif juga akan menyebabkan seseorang lebih bersemangat melaksanakan tugasannya. Distres ialah stres negatif yang menyebabkan individu mengalami tekanan negatif seperti tekanan mental dan boleh mengakibatkan kemudaratan terhadap diri sendiri dan orang lain. Stres positif dan negatif ini berlaku bergantung kepada diri individu itu sendiri bagaimana untuk mengendalikan stres tersebut. Jika seseorang individu mempunyai daya yang kurang untuk menangani stres tersebut maka stres yang berlaku adalah lebih bersifat negatif. Stres positif pula ialah apabila seseorang menjadikan punca tekanan berikut sebagai suatu motivasi untuk memajukan diri.

Stres berlaku disebabkan oleh pelbagai punca yang dikenalpasti seperti kerja banyak, kerja bertangguh, tidak cukup tidur dan keperluan hidup yang tinggi. Terdapat banyak punca lain yang mewujudkan stres dalam kalangan guru di sekolah rendah terutamanya. Dalam kerjaya sebagai seorang guru ini tanggungjawab atau beban kerja yang banyak akan mengganggu guru tersebut. Seseorang guru akan memberontak sekiranya bebanan kerja terlalu tinggi dan akan menyebabkan tekanan jiwa yang tinggi. Kerja yang banyak dan bertangguh juga akan menyebabkan seseorang guru berasa tertekan apabila tidak dapat menyiapkan tugasannya mengikut masa yang ditetapkan. Pada pandangan saya perkara seperti ini berlaku kerana pengurusan masa yang tidak cekap dan tidak sistematik. Langkah yang perlu diambil oleh guru tersebut ialah menyediakan senarai mengikut keutamaan kerja tersebut. Jadual pengurusan kerja yang sistematik akan membantu guru untuk menyiapkan tugasan mengikut waktu yang ditetapkan.

Punca stres dikenali sebagai ’stressor’ adalah rangsangan yang bertindak terhadap seorang individu yang melebihi keupayaannya atau kebolehannya untuk mengawal (Hatta Sidi, 2003). Punca stres guru juga ialah tidak cukup tidur dan tidak cukup rehat ( Robiah K. Hamzah, 2005). Bebanan kerja yang terlalu banyak akan menyebabkan guru mendapat tidur dan rehat yang kurang berkualiti. Kurang tidur dan kurang rehat akan menyebabkan guru tersebut mengalami tekanan disebabkan oleh keletihan. Berdasarkan pembacaan yang telah dibuat saya mendapati seorang dewasa perlu mendapat tidur antara enam hingga lapan jam. Tidur yang berkualiti dan tidak diganggu akan memberikan ketenangan dan mengurangkan ketegangan dalam diri individu. Rehat yang mencukupi juga akan menyebabkan seseorang guru mempunyai tenaga untuk menjalani rutin-rutin sehariannya di sekolah.

Stres dalam kalangan guru juga berlaku disebabkan oleh masalah komunikasi, pemikiran tidak rasional dan keperluan hidup yang tinggi. Masalah komunikasi sememangnya sering berlaku di sekolah. Komunikasi yang tidak berkesan dengan pentadbir dan rakan sejawat terutamanya akan menyebabkan berlakunya salah faham. Pemikiran guru sendiri yang tidak rasional tentang sesuatu perkara juga akan menyebabkan berlakunya stres. Dalam kehidupan peribadi seseorang guru juga apabila wujudnya keperluan hidup yang tinggi akan menyebabkan berlakunya tekanan emosi.

Terdapat tanda-tanda stres yang negatif ialah reaksi perasaan seseorang. Perasaan atau emosi seseorang itu mengalami perubahan secara tiba-tiba. Antara perubahan emosi ketika stres ialah mudah marah, mudah bersedih, mudah menangis, mudah mengamuk, kecewa dan mudah hampa ( Fadzilah Kamsah, 2007). Tanda stres yang kedua ialah sukar untuk menyelesaikan masalah. Seseorang yang mengalami tekanan juga merasakan masalah yang dihadapinya adalah terlalu besar dan orang lain tidak pernah menghadapinya. Bagi guru yang mengalami tanda-tanda seperti ini mereka merasakan masalah yang datang semakin sukar untuk diselesaikan dan semakin bertambah kerana pemikiran mereka yang semakin tidak rasional.

Tanda-tanda stres yang ketiga ialah prestasi diri guru tersebut semakin merosot. Prestasi guru boleh dilihat dalam aspek pelajaran, ,melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam dan hubungan dengan rakan-rakan lain semakin merosot. Prestasi yang paling ketara pada seseorang guru ialah dapat dilihat melalui prestasi pengajaran murid dan tanggungjawab lain di sekolah. Contohnya jika suatu ketika dahulu guru ini dilihat sebagai seorang guru yang sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan murid maka kini guru tersebut lebih suka mengajar sekadar untuk memenuhi jadual waktu hariannya sahaja. Tanda stres yang keempat ialah idea guru semakin berkurang. Apabila tekanan telah menguasai pemikiran maka guru itu sukar untuk berfikir dengan baik dan hilang tumpuan dalam pengajarannya. Oleh itu guru itu akan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan idea untuk sesuatu tugasan atau masalah.

Tanda-tanda stres yang kelima ialah mengalami masalah cepat lupa. Apabila berada dalam keadaan tertekan guru biasanya sukar untuk mengingat tentang sesuatu perkara. Kecelaruan ini berlaku akibat hilang tumpuan sehingga menyebabkan lupa. Tanda stres yang keenam ialah mengalami masalah kesihatan. Masalah kesihatan juga berlaku akibat tindak balas disebabkan oleh stres. Menurut Fadzilah Kamsah (2007) kurangnya keseimbangan emosi juga mampu mempengaruhi keseimbangan biologi badan individu manusia itu sendiri.

Kesan stres dapat dilihat melalui kesan fizikal dan kesan psikologikal (Hatta Sidi, 2003). Kesan ini boleh mencetuskan kerosakan fizikal dan psikologikal dalam jangka masa panjang. Dewasa kini isu stres ini sering menjadi perbualan sehingga kajian saintifik telah dijalankan untuk memahami hubungkait stres dengan penyakit fizikal. Antara yang dikenal pasti ialah stres boleh menyebabkan dan menambah keterukan penyakit-penyakit fizikal tertentu. Menurut Hatta Sidi (2003), antara penyakit yang dikaitkan dengan stres ialah penyakit jantung, sakit kepala, masalah tidur, masalah ingatan, penyakit kulit, keguguran rambut dan penyakit sistem penghadaman. Penyakit-penyakit fizikal ini berlaku kerana emosi juga mempengaruhi sistem tubuh badan kita.

Kesan psikologikal pula akan menyebabkan seseorang mendapat penyakit kemurungan dan keresahan. Menurut Hatta Sidi (2003), seseorang yang mengalami keadaan stres adalah hampir enam kali ganda cenderung untuk mendapat penyakit kemurungan dalam jangka masa sebulan. Rembesan horman stres yang kerap boleh meningkatkan aktiviti otak dan seterusnya mencetuskan ketidakgembiraan. Stres juga pada pandangan saya akan menyebabkan menurunnya kualiti hidup seseorang, kurang ceria dan ketidakpuasan. Penyakit keresahan ini menunjukkan stres seseorang guru itu berada pada tahap yang berlebihan. Menurut Hatta Sidi (2003),keresahan juga boleh menyebabkan hilang kawalan dan mati secara mengejut. Penyakit keresahan yang serius boleh mengganggu kemampuan seseorang untuk meneruskan rutin hidupnya secara normal. Penyakit kemurungan yang disebabkan oleh stres juga boleh menyebabkan seseorang mempunyai keinginan untuk membunuh diri. Kemurungan yang berterusan melebihi dua minggu dan diikuti dengan tanda-tanda stres dikatakan telah menjadi satu penyakit dan perlu dirujuk kepada pakar psikiatri. Secara amnya juga sebarang bentuk stres juga berupaya mencetuskan penyakit mental yang lain dalam diri seorang guru.

Stres boleh ditangani dengan pelbagai cara yang berkesan. Antara cara mengatasi stres ialah memperbaiki persekitaran am. Persekitaran pekerjaan sebagai seorang banyak mendedahkan diri kepada gangguan stres. Oleh itu, guru hendaklah memastikan persekitarannya sentiasa kondusif dan tidak terdedah kepada gangguan stres. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengurangkan habuk, kebisingan dan keadaan yang tidak selesa. Keadaan yang selesa akan memberikan motivasi untuk guru bekerja. Stres juga boelh ditangani dengan kemahiran menyelesaikan masalah. Kemahiran penyelesaian masalah dapat membantu seseorang guru menangani masalah secara rasional dan sistematik.

Cara menangani stres yang ketiga ialah kemahiran pengurusan masa yang baik. Pengurusan masa yang sistematik merupakan tunjang utama kepada kehidupan yang teratur. Punca utama berlakunya stres adalah berkaitan dengan bebanan kerja yang berlaku disebabkan oleh ketidakcekapan pengurusan masa seseorang individu. Oleh itu, pada pandangan saya adalah sangat perlu bagi seorang guru untuk menyediakan jadual harian yang teratur dan sistematik. Perkara ini membantu individu tersebut untuk melaksanakan tugasan mengikut keutamaan. Stres juga boleh ditangani dengan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan beriadah. Amalan bersenam dan beriadah akan memberikan kesihatan dan kecerdasan minda. Ketahanan fizikal juga dapat mengurangkan kadar tekanan seseorang.

Stres juga boleh dihilangkan dengan melakukan aktiviti santai seperti berkelah, melancong dan menziarahi jiran tetangga. Berkelah dan melancong dapat meredakan tekanan apabila melihat kehijauan dan ketenangan alam sekitar yang kehijauan. Aktiviti santai seperti ini dapat mengisi kekosongan pada waktu cuti dan juga menenangkan minda akibat tekanan kerja. Amalan ziarah-menziarahi jiran tetangga juga dapat merapatkan hubungan persahabatan. Semasa berziarah juga dapat mengurangkan tekanan dan keserabutan yang dialami oleh individu. Kaedah lain yang berkesan untuk menangani stres ialah dengan cara menghidupkan suasana ketenangan dan keceriaan. Contohnya ialah menghias ruang bilik, makan bersama keluarga dan memasang muzik yang menghiburkan dan menenangkan.

2.0 Kesimpulan

Stres dalam kalangan guru merupakan satu fenomena yang memang wujud di sekolah. Stres juga boleh dianggap sebagai petunjuk kepada kesihatan mental guru. Sekiranya tahap stres tidak terkawal ia boleh membawa implikasi yang negatif kepada sistem pendidikan kita. Pengurusan stres memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh semua guru. Sebagai penjawat awam juga haruslah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dengan melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi. Peningkatan ilmu dalam kalangan guru juga harus seiring dengan tuntutan semasa.

Guru-guru haruslah sentiasa bersikap positif dalam menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan bagi mengelakkan mereka terus berada dalam keadaan stres. Stres yang berterusan juga akan menjejaskan karier mereka. Setiap pihak juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi guru. Kegagalan mengawal tekanan emosi boleh mendatangkan kesan buruk bukan sahaja kepada individu terbabit malah organisasinya juga. Sebagai persediaan yang perlu dilakukan oleh guru untuk menghadapi stres ialah dengan mempersiapkan diri dengan kemahiran menangani stres dan pengurusan masa yang baik. Punca utama yang menyumbang kepada stres ialah pengurusan masa yang tidak cekap sehingga berlakunya lambakan kerja yang membebankan.

Kesimpulannya stres merupakan suatu perkara yang boleh menyebabkan kesan positif dan negatif. Sekiranya stres dianggap sebagai sesuatu yang positif maka ia dapat dijadikan sebagai momentum kejayaan diri. Stres juga boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan jika tidak dibendung. Oleh itu, sebagai seorang guru stres yang terlampau hendaklah ditangani agar tidak menjadi lebih serius. Terdapat pelbagai petua-petua yang dapat digunakan untuk menangani fenomena stres yang kian meruncing dalam kalangan guru ini.

No comments: